Jodoh itu ditangan Tuhan...biasa kita membaca atau mendengar orang bercakap seperti ini. Kita manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Sebenarnya kita tidak banyak merancang, kita lebih banyak menjalani kehidupan seperti apa adanya yang kita tahu, yang kita mahu dan yang kita mampu. Jarang sekali perancangan kita dipenuhi...jarang sekali kita berjalan di atas perancangan yang telah kita buat ataupun yang mahu kita rancangkan kerana apapun perancangan kita, nikmat Allah seringkali mendahului fikiran kita, mendahului langkah kita apatah lagi perancangan atau angan-angan kita. Ada masanya kita beroleh rezeki yang banyak, ada masanya kita ditimpa musibah, ada masanya kita berjaya, ada masanya kita gagal, ada masanya kita sihat, ada masanya kita sakit, ada masanya kita bahagia dan ada juga masanya kita menderita. Itulah nikmat Allah yang begitu sempurna. Setiap kejadian, setiap keadaan, setiap apa pun segala sesuatu itu pasti ada kontranya. Itulah keadilan, itulah prinsip kemanusiaan, itulah hukum alam, itulah kebijaksanaan yang membina dan itulah kekayaan yang tak terbanding. Nikmat yang menggembirakan mahupun nikmat yang mendukacitakan...kedua-duanya tetap nikmat yang tak ternilai apabila kita mampu mentarbiahkan diri kerana Allah tidak menjadikan sesuatu apapun dengan sia-sia.
9 April 2011...detik perkenalan kita dengan bantuan sahabat yang cukup aku hormati. Terima kasih yang tak terhingga pada sahabat ini yang telah menemukan kita. Inilah yang dinamakan titian jodoh. Kita sama-sama berjalan di atas titian ini kerana silaturrahim seorang sahabat yang layak untuk dikasihi, layak untuk dihargai kerana tanpa dia kita tidak mungkin akan berjalan beriringan diatas titian jodoh ini. Pertama kali kita bersua, kau hanya diam tak berkata-kata. Aku pula yang petah berbahasa sehingga aku sendiri naik segan dengan diriku. Tetapi pada ketika itu aku hanya ingin memperbaiki keadaan. Tidak mahu pertemuan itu diselaputi kesunyian sehingga kita tak berpeluang untuk saling mengenali. Mungkin dengan kehadiran sahabat-sahabat di sisi kita pada waktu itu menjentikkan semangat padaku untuk lebih bersikap terbuka. Seikhlas hatiku, aku cuba untuk tidak menilai dirimu begitu sahaja. Aku percaya perwatakan, percakapan, mimik muka mahupun bentuk fizikal tidak dapat mencerminkan keperibadianmu pada waktu itu. Jadi aku mengambil keputusan untuk memberi waktu pada dirimu dan pada diriku sendiri untuk kita saling mengenali.
Bermula dari pertemuan itu sehingga kau membawaku berjumpa keluargamu, aku menjadi yakin pada ketulusan dan keperibadianmu. Sehinggalah akhirnya aku menerima lamaranmu untuk menjadi suri hidupmu. Padaku tak ada yang lebih penting daripada kasih sayang dan kekeluargaan. Walau seburuk mana, walau seteruk mana, walau sesusah mana pun kehidupan yang akan kita lalui nanti jangan pernah abaikan keluarga dan kasih sayang yang sama-sama kita bina. Begitu juga walau seindah mana, walau segembira mana, walau sesenang mana pun kehidupan yang akan kita lalui nanti jangan pernah lupa pada keluarga dan kasih sayang yang sama-sama kita jaga. Hanya dengan keluarga dan kasih sayang kita akan dapat terus bersama-sama berusaha memperbaiki kehidupan.
Terima kasih pada sahabatku atas pertemuan jodoh ini....semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat keatasmu dan rumahtanggamu...amin amin ya rabbal alamin.