3 hari saja lagi saya akan melangsungkan perkahwinan. Semakin hampir detik itu semakin berdebar-debar dan banyak perkara yang saya fikirkan. Begitu juga banyak hal yang merisaukan saya. Bukannya saya tidak bersedia untuk bergelar isteri tetapi saya terlalu memikirkan tentang bagaimana kehidupan yang akan saya jalani selepas berkahwin. Banyak perubahan yang harus saya lakukan. Banyak pengorbanan yang harus saya relakan. Banyak pengertian yang harus saya semaikan. Selama ini apapun keputusan dalam hidup, saya tetapkan sendiri. Begitu juga dengan cara hidup, pergaulan, penampilan, penilaian dan pemikiran saya...semuanya atas kehendak dan cara saya sendiri. Tetapi bila sudah berkahwin nanti saya tidak boleh lagi hanya mengikut kehendak dan cara sendiri. Saya pun tidak boleh lagi menilai dan menghakimi sesuatu perkara hanya berdasarkan pemahaman dan kemahuan saya. Segala-galanya perlu dikongsi bersama suami. Susah senang, sihat sakit, perasaan, emosi bah kan cara berfikir dan menyelesaikan sesuatu masalah tidak lagi dapat dilakukan seorang diri. Apa sahaja yang saya lakukan adalah wajib untuk mendapat redha suami kerana syurga seorang isteri adalah di bawah tapak kaki suami iaitu wajib mentaati suami selagi perkara tersebut tidak bertentangan dengan hukum Islam.
Mampukah saya melakukannya? Inilah persoalan yang sering bermain di benak saya. Mampukah saya menjadi seorang isteri yang baik? Mampukah saya menjalankan tanggungjawab saya dengan baik? Mampukah saya membahagiakan suami saya? Mampukah saya membahagiakan keluarga mentua saya? Mampukah saya membahagiakan ibu bapa saya? Setelah berkahwin kehidupan kita akan dikelilingi oleh satu masyarakat. Satu masyarakat yang lain daripada masyarakat di luar sana. Iya masyarakat yang saya maksudkan di sini adalah masyarakat keluarga. Mengapa saya panggil ia masyarakat ialah kerana keluarga kita akan semakin berkembang apabila terjadinya perkahwinan. Jadi di dalam keluarga juga kita sudah hidup bermasyarakat. Oleh kerana itu pandangan kita hendaklah luas dan bukan hanya tertumpu pada diri sendiri dan suami. Setelah berkahwin tanggungjawab kita semakin meningkat dan bertambah dari masa ke semasa. Bukan hanya tanggungjawab pada suami, diri sendiri, anak-anak, keluarga mentua, ibu bapa, keluarga, saudara mara...begitu juga tanggungjawab kita terhadap agama, masyarakat, negara, bangsa dan alam ini secara keseluruhannya. Begitu besarnya tanggungjawab itu kerana setiap apapun langkah kita, keputusan kita, cara hidup kita selepas berkahwin...semuanya akan mempengaruhi kehidupan orang lain...semuanya akan mempengaruhi institusi kekeluargaan...semuanya akan mempengaruhi perkembangan Islam, masyarakat, negara, bangsa dan alam ini seluruhnya. Kerana selepas berkahwin kitalah yang akan melahirkan generasi muda yang bakal menerajui masa depan dan mencorakkan imej agama, masyarakat, negara, bangsa dan alam ini.
Disebabkan tanggungjawab sebeginilah saya seringkali dihantui fikiran-fikiran yang kadang-kadang membebankan minda. Perjalanan hidup kita sebagai manusia sememangnya telah tertulis di Loh Mahfuz. Kerana itu Rukun Iman yang ke-6 menyebut "Percaya pada Qada dan Qadar". Tetapi kita pun tidak boleh menyerahkan bulat-bulat pada takdir kerana sebelum berlaku Qadar akan berlaku Qada dahulu. Di sinilah kita diberi peluang untuk mengubah takdir itu dengan usaha dan doa kepada Allah S.W.T. Dalam hidup ini kita diberi terlalu banyak pilihan, terlalu banyak ruang, terlalu banyak masa, terlalu banyak kemudahan, terlalu banyak kekayaan, terlalu banyak kepandaian, terlalu banyak kekuatan, terlalu banyak kekuasaan sehinggakan semua yang terlalu banyak ini menjadikan kita manusia yang alpa, manusia yang lalai, manusia yang tamak, manusia yang bongkak, manusia yang ingkar, manusia yang jahil, manusia yang hilang perikemanusiaan, manusia yang bertopengkan syaitan. Kita lupa bahawa disebalik semua yang terlalu banyak itu tersembunyi lebih banyak kelemahan dan keburukan. Seharusnya kita bersyukur dengan nikmat Allah, tidak lupa diri, bersederhana, sentiasa muhasabah dan memperbaiki diri, membangunkan diri sendiri dan keluarga ke arah pembangunan rohani dan bukan ilmiah semata-mata. Sama-sama membangkitkan semangat untuk berubah ke arah kebaikan dan menjadikan Islam sebagai cara hidup dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Semua inilah yang saya fikirkan. Selama 33 tahun saya hidup di muka bumi ini dengan tidak bertudung. Bila saya cuba melakukannya saya merasa rimas, panas, pening kepala dan seperti hendak pitam. Begitu juga dengan solat kadang-kadang ada yang tertinggal tetapi saya ambil ringan.Mampukah saya melakukannya dengan sempurna selepas berkahwin? Mampukah pula suami saya melakukannya? Mampukah kami berdua sama-sama berubah? Mampukah kami berdua sama-sama mengaplikasikan Ad-Din didalam rumahtangga kami? Mampukah kami ya Allah...hanya padaMu aku bermohon bukakanlah pintu hatiku dan pintu hati suamiku untuk sama-sama berubah. Jadikanlah kami suami dan isteri yang beriman dan beramal. Kurniakanlah kami dengan anak-anak yang sihat, anak-anak yang soleh dan solehah. Bantulah kami, bimbinglah kami, pimpinlah kami Ya Allah...binalah keteguhan peribadi kami, binalah kekuatan akal dan fikiran kami, peliharalah keimanan dan keyakinan kami, peliharalah amalan kami. Semoga rumahtangga kami dilimpahi dengan kasih sayang, aman damai, rukun dan bahagia hingga ke akhir hayat dengan rahmat dan restu Mu Ya Allah...Amin Amin Ya Rabbil Alamin.
No comments:
Post a Comment