Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.
Syukur Alhamdulillah aku telahpun selamat melahirkan seorang putera pada 22 Disember 2015 jam 4.06 petang melalui pembedahan (ceritanya di SINI). Berat baby 3.44kg yang kami namakan Muhammad Quranizam Kahfi. Erti nama ini lebih kurang bermaksud 'lelaki yang menang berpandukan aturan Al-Quran' Sebenarnya nama ini sudah lama aku fikirkan sebelum mengandung lagi. Maklum sajalah lama menunggu untuk memiliki zuriat jadi aku banyak berangan-angan. Memang kedengaran so desperate long ago aku sudah mulai memasang angan-angan untuk nama-nama bayi lelaki dan perempuan hehehee. Nama Muhammad diambil sempena nama Rasullulah S.A.W, Quran aku maksudkan Al-Quran, Nizam bermaksud Peraturan manakala Kahfi bermaksud lelaki yang menang yang juga merupakan surah ke-18 dalam Al-Quran yang mempunyai 110 ayat. Surah ini mengisahkan tentang orang-orang soleh. Terdapat 4 kisah yang diceritakan didalam Surah Al-Kahfi seperti berikut:
Pertama
Kisah Ashabul Kahfi.
Kisah ini diawali dari ayat ke-9 sampai ayat ke-26. Kisah tentang sekumpulan pemuda muslim yang hidup di negeri kafir. Mereka bertekad berhijrah untuk mempertahankan agama. Ini dilakukan setelah mereka berdakwah pada kaumnya tetapi mendapat penolakan, tekanan, dan ugutan. Mereka menghadapi fitnah dalam dakwah dan perjuangan dari kaumnya. Lalu Allah melindungi dan menjaga mereka melalui gua dan sinar matahari. Mereka tidur didalam gua bertahun-tahun lamanya. Saat mereka terbangun dari tidur, mereka mendapati kaumnya telah berubah. Negeri tempat tinggal mereka dahulu menjadi negeri yang penduduknya beriman kepada Allah.
Pengajaran daripada kisah ini ialah pada orang-orang yang beriman dan bertakwa yang berdakwah pada jalan Allah dan bersabar menghadapi tentangan dan fitnah sudah pasti Allah akan memelihara, melindungi dan memberkati mereka. Hingga akhirnya Allah memberikan rahmat dan nikmat sebagai balasan baik kepada keimanan dan ketakwaan itu.
Kedua
Kisah Pemilik dua kebun.
Tertera pada ayat 32 - 44. Ini kisah tentang seseorang yang Allah kurniakan kebun. Dia lupa dengan pemberi nikmat yakni Allah sehingga dirinya melampaui batas. Ia tinggalkan prinsip-prinsip keimanan dengan celaan, keraguan dan tidak bersyukur kepada nikmat Allah. Disebabkan dari kekufuran dan kesyirikannya itu, hancurlah tanaman dan buah-buahan di kebunnya. Dia diselubungi penyesalan yang mendalam hanya pada saat penyesalannya itu sudah tidak berguna lagi. Kisah ini menerangkan tentang bahaya fitnah dunia berupa harta dan anak. Sehingga membuatnya berbangga diri dan terus mengejar dunia untuk memperbanyak kekayaan dan keturunan.
Pengajaran dari kisah ini adalah dengan memahami hakikat dunia yang diterangkan diawal surah, “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.” (QS. Al-Kahfi: 7)
Ketiga
Kisah Nabi Musa dan Khidzir.
Di awali dari ayat 60 hingga 82. Ini berkisar tentang fitnah ilmu. Yakni saat Musa ditanya, “Siapa penduduk bumi yang paling ‘alim (pandai)?' Lalu ia jawab, “Saya”. Kemudian Allah mengkhabarkan kepadanya, di sana ada manusia yang lebih 'alim' dari dirinya.
Kemudian Musa pergi untuk belajar kepadanya. Dan ternyata Nabi Musa benar-benar faham ada hikmah Illahiyah yang Allah berikan kepada selainnya. Sehingga dirinya kemudian tersedar. Ini merupakan penyakit orang yang berilmu, terlalu bangga dengan ilmunya dan merasa paling 'alim' di dunia. Pengajarannya, kita hendaklah menanam sikap tawadhu' (rendah diri) dalam diri.
Keempat
Kisah Dzulqarnain.
Kisah tentang raja mulia yang menguasai ilmu dan kekuatan ini bermula dari ayat ke-83 hingga 101. Dia mengelilingi dunia ini dan menyebarkan kebaikan di muka bumi. Dia menolong manusia. Mampu membendung kejahatan Ya'juj dan Ma'juj dengan mendirikan tembok raksasa (benteng) yang mengurung makhluk perosak tersebut. Kemampuan istimewanya yang lain, Dzulqarnain dapat berkomunikasi dan menyusun kekuatan kaum yang hampir-hampir mereka tak mampu memahami perkataan manusia lain dan tak dapat membuat mereka faham dengan tutur katanya. Kisah ini menceritakan tentang ujian kekuasaan. Sehingga tidak sewenang-wenangnya, berbuat aniaya, dan membuat kerosakan di muka bumi. Dzulqarnain seorang pemerintah yang tidak terfitnah dengan kekuasaan dan kekuatannya. Ia gunakan kurnia Allah tersebut dijalan yang betul untuk mencari akhirat dengan membuat kebaikan di muka bumi dan menolong manusia-manusia lemah di bawahnya. Pengajaran daripada kisah ini adalah untuk menjadi pemerintah maka hendaklah menanam sikap ikhlas dalam diri dan sentiasa mengingati akhirat. Wallahu A’lam.
Begitulah serba sedikit secara ringkas kisah-kisah yang dipaparkan didalam Surah Al-Kahfi. Aku mengharapkan keberkatan daripada nama ini dengan izin Allah agar buah hati kami Muhammad Quranizam Kahfi akan menjadi seorang mukmin yang berjiwa Al-Quran, membesar menjadi seorang lelaki yang sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai pegangan hidup dan landasan untuk membina kehidupan dunia akhirat. Aamiin Ya Rabbal Alamin.
No comments:
Post a Comment