Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.
10 Januari 2014 - Throwback tentang pemergian bapa tersayang ke rahmatullah. Inilah hari yang paling menyedihkan paling meremukkan jiwa disepanjang hidupku. Sungguh ya sungguh memang sungguh hanya Allah sahajalah yang maha berkuasa keatas segala sesuatu apapun, yang ada dilangit yang ada dibumi yang kita ketahui dan yang tidak kita ketahui dan apapun juga apa pun juga iya apapun juga....hanya Allah lah yang berkuasa.
Detik kesedihan ini sebenarnya sudah lama bermula sejak bapa sakit-sakit sekitar tahun 2011/2012. Kesihatan bapa merosot dengan cepat pada penghujung tahun 2012 dan menjadi semakin buruk pada tahun 2013. Tapi semenjak dahulu lagi (waktu aku masih kecil) bapa memang selalu mengadu sakit dada dan rasa sakit itu tidak pernah hilang sehingga bapa menghembuskan nafas terakhirnya.
Mungkin juga disebabkan faktor usia bapa mudah diserang penyakit ditambah lagi dengan perjalanan hidupnya yang sentiasa bertungkus-lumus bekerja siang malam untuk mencari rezeki dan membesarkan anak-anak. Apabila sudah menginjak usia tua barulah kesan daripada kerja keras dimasa muda itu menunjukkan hasilnya. Badan bapa sudah tidak kuat, dia tidak larat lagi untuk bekerja dan berjalanpun menggunakan tongkat. Bapa menghidap tekanan darah tinggi, kencing manis, dugal, sakit mata, sakit dada, sakit kepala dan masalah buah pinggang. Memang banyak masalah kesihatannya.
Lama juga bapa terlantar sakit, masuk wad keluar wad. Pada mulanya bapa dijaga oleh kakak sulungku Kak Sitia, kemudian dijaga pula oleh kakakku yang lain Kak Suita. Mereka berdualah yang banyak berkorban menjaga makan minum, pakai dan apa juga kebajikan bapa sepanjang bapa terlantar sakit. Hatiku selalu meruntun untuk berada disisi bapa dan menjaga apa saja keperluannya tetapi apakan daya aku jarang-jarang dapat balik melawat bapa kerana menetap bersama suami di Brunei Darussalam. Sesekali pulang ke kampung untuk menziarahi bapa bertemu dengannya dan berada disisinya walaupun cuma beberapa hari aku sudah cukup bersyukur.
Betapa aku sangat-sangat terharu, bangga dan berterimakasih atas keprihatinan kakak-kakakku dan abang-abangku yang begitu cermat menjaga bapa. Aku gembira kerana mereka sanggup memikul tanggungjawab sebagai anak dan berusaha memenuhi semua kehendak bapa, apa juga yang bapa inginkan ketika sakit. Iya bapa hanya terlantar tidak dapat bangun atau berjalan, perlu dipakaikan pampers dan semakin hari kesihatannya semakin merosot.
Episod duka kami bermula apabila bapa meminta untuk dihantar pulang ke rumah di Kampung Kebayau. Sebelum itu bapa dan mak tinggal bersama Kak Suita di perumahan di Taman Sri Rugading. Mereka menurutkan kehendak bapa. Mungkin ketika itu adik-beradikku sudah merasakan bahawa itulah kehendak dan permintaan terakhir bapa untuk menghabiskan sisa-sisa terakhir hidupnya dirumah yang dibinanya sendiri.
Aku masih ingat malam itu 7 Januari 2014 hatiku terdetik untuk telefon bapa dan kami berborak panjang. Suara bapa sangat berbeza malam itu seperti suara halus berbisik, aku merasa aneh tetapi kudiamkan saja. Bapa banyak berpesan kepadaku tentang sembahyang, tentang kesihatan. Dia memintaku untuk selalu menjaga kesihatan dan jangan meninggalkan sembahyang. Kemudian dia memberitahuku betapa dia sangat gembira kerana berada di rumah di kampung dan dia juga mengatakan betapa dia merasa lebih sihat dan tenang. Aku tiba-tiba merasa sangat sayu, aku memintanya untuk menunggu aku pulang kerana aku sudahpun merancang untuk pulang hujung bulan Januari itu. Terdengar suara bapa sangat halus seperti berbisik dan seolah-olah sangat berat untuk dia menjawabku tetapi dapatku dengar jawapannya ïya"...perlahan dan lemah bunyinya...aku sudah merasakan kelainan dalam hatiku tetapi aku tidak mahu terlalu mengikut gerak hati. Kami mengakhiri perbualan dan kata-kata terakhir dari bapa ialah "bye byeee"dan Ässalamualaikum"."
Keesokan harinya aku mendapat khabar bahawa bapa tidak sedarkan diri kerana terjatuh dari katil. Hari itu juga aku pulang ke kampung menaiki feri dari Labuan dan suamiku menuruti keesokan harinya dengan kereta kerana menguruskan formalisi cuti dari pejabatnya. Bapa ketika itu sudah tidak dapat memberikan apa-apa respond dia berada dalam keadaan koma. Sewaktu itulah hatiku hancur remuk kerana tidak ada lagi apa-apa tindakbalas dari bapa, tidak ada lagi suaranya, tidak ada lagi pandangan matanya hanya nafasnya sahaja yang masih menghela turun naik cuba memberikan kami setitik harapan.
Iya kami tidak mahu berputus asa selagi ada daya selagi ada nyawa kami ingin berusaha. Kami membawa bapa ke hospital, daripada rumah sakit Beringis Tuaran sehinggalah bapa dipindahkan ke Hospital Likas. Kami menunggu dengan penuh harapan dengan iringan doa dan airmata kesedihan mengharapkan keajaiban namun ketetapan Allah adalah segala-galanya. Yang berhak ke atas bapa hanyalah Allah S.W.T bila sudah sampai masanya untuk kembali kepadaNya maka tidak ada daya kuasa kita manusia untuk menahannya. Aku meraung dan hampir pengsan ketika mengucup dahi bapa setelah doctor mengesahkan bapa sudah tiada. Bapa kesayangan kami telah kembali kepada sang Pencipta pada 10 Januari 2014 sekitar jam 9 malam.
Tiada lagi keramahan bapa, tiada lagi ketawanya, tiada lagi gurau sendanya, tiada lagi kata-kata nasihatnya, tiada lagi ekpresinya ketika gembira, marah, sedih atau kecewa, tiada lagi tabiat uniknya bila menonton TV, tiada lagi keterujaannya ketika menikmati hidangan kesukaannya, tiada lagi bau badannya, tiada lagi senyumannya dan tiada lagi raut wajahnya yang sentiasa tenang sentiasa bersih sentiasa berseri sentiasa menyenangkan dan mendamaikan jiwa apabila melihatnya. Tiada lagi....Tiada lagi....Tiada lagi....Tiada lagi semuanya...Iya Tiada lagi semuanya...namun yang tinggal hanya kenangan...hanya memori...hanya masa silam...hanya ingatan...hanya kerinduan...hanya kerinduan....huarrgghhh nangiiiiiiiissssssssss
Kami membawa balik jenazah bapa malam itu dan berjaga sepanjang malam. Hanya doa, Al-Fatihah dan Yassin kami ulang-ulangkan untuk berkomunikasi dengan sekujur tubuh bapa yang sudah tidak bernyawa. Dengan jasadnya kami berbicara memohon keampunan, mendoakan dan melampiaskan rasa kasih sayang juga kesedihan kami untuk berpisah selamanya dengannya. Berpisah selamanya....
Keesokan harinya majlis pengebumian bapa berjalan dengan lancar dan sempurna. Mak dan kami semua adik beradik bergilir-gilir mencium arwah bapa sebelum kapannya ditutup. Itulah saat perpisahan yang paling menyayat hati kualami dalam hidup ini.
Alhamdulillah dengan izin Allah jua dengan rahmat dan kasih sayangNya jua, arwah bapa selamat dikebumikan selepas waktu Zohor. Selesai pengebumian talkin dibaca ditanah perkuburan rintik-rintik hujan mulai turun seolah-olah langit turut menangis dan bersedih mengiringi airmata kami yang berderaian. Ketika ini tidak ada lagi raungan tidak ada lagi kata-kata sedih yang menidakkan pemergian bapa yang ada hanya titisan airmata bisu kami dengan hati yang tulus mendoakan agar arwah bapa damai disisi Allah, diampunkan segala dosanya, diterima segala amal kebaikannya dan ditempatkan dia di kalangan orang-orang mukmin yang beriman Aamiin Ya Rabbil Alamin.
Al-Fatihah buat arwah bapa kesayanganku Sulaiman Bin Gadat.
Gambar Bapa Sewaktu Sakit
Bapa Dibawa ke Hospital