Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.
Apa khabar semua? Lama juga tak update blog ni maklumlah dah jadi Mak Buyung, tak ada mood nak menaip ditambah lagi dengan kemalasan yang bertingkat-tingkat ehehee. But I have to update otherwise this blog will become obsolete hahahaa konon jak!!! Yang belum baca entry about my 1st trimester please feel free to read it HERE. Well this is all about my second trimester (Week 13-Week 28)...yuppp Alhamdulillah manage to get through this phase with so much difficulties especially the pain at my waist and back...it's really killing me softly uhuhhhuuu well not that soft actually, tapi apapun aku bersyukur ke hadrat Illahi yang memberikan kesempatan untuk aku merasai detik-detik kehamilan ini walaupun dengan susah-payah dan macam-macam kesakitan yang timbul. Aku yakin semua itu adalah ujian untuk menguji kesabaran dan keimananku. Lagipun apalah sangat kepayahan dan sakit-sakit itu jika dibandingkan dengan zuriat yang bakal lahir ini. Suatu anugerah yang tiada ternilai; hadiah daripada Allah S.W.T yang tidak mungkin dapat dibandingkan dengan apapun harta didunia ini. Terima kasih Ya Allah ampunkanlah apa jua keluh-kesah dan rungutan hambamu yang lemah ini.
Seperti yang kujangka trimester kedua sangat mencabar buat aku. Kesakitan dipinggang dan belakang memang sangat tajam menikam sehingga aku merasa seluruh tubuhku seperti dihiris-hiris. Iya sangat pedih dan sakit terutama apabila hendak tidur, bergerak ketika tidur, bangun dari tidur dan ketika hendak membuat kerja-kerja rumah. Kadang-kadang kedengaran bunyi 'praakk' seperti tulang belakang atau tulang dipinggang patah. Memang bunyinya menakutkan. Ada waktunya aku rasa seperti tubuhku tidak dapat bertahan. Emosipun turun naik. Kebanyakan waktu aku asyik memikirkan tentang kesihatanku yang semakin memburuk dari sehari ke sehari.
Bacaan DGM (Diabetes) gula dalam darah semakin meningkat walaupun aku tidak mengambil makanan dan minuman yang bergula mahupun makanan ringan yang diproses. Mengikuti saranan Dietician untuk menjaga makan berpandukan pola pemakanan yang diaturkan juga tidak membantu. Akhirnya aku terpaksa menyuntik insulin pada badan sendiri, 3 kali sehari dengan dos yang berbeza. Pada mulanya dos diberikan rendah namun ditambah beberapa kali disebabkan paras gulaku yang makin tinggi. Aku juga pernah ditahan di wad (admitted) disebabkan paras gula yang tinggi dan kesakitan di bahagian abdomen. Semuanya memang membebankan fikiranku. Rasa risau dan takut silih berganti. Begitu juga dengan imaginasi-imaginasi yang melampau datang dan pergi mengganggu ketenteraman hatiku. Ditambah lagi dengan mimpi-mimpi buruk yang menakutkan. Entah pada siapa harus aku mengadu, kebanyakan waktu aku diamkan sahaja kerana aku merasakan tidak ada sesiapapun yang dapat memahami perasaanku waktu ini walaupun suamiku sendiri. Lagipun aku tidak mahu menambah kerisauan suamiku. Nanti bila dua-dua diselubungi rasa risau sudah tentu keadaan akan bertambah kacau.
Seawal bulan ke-5, kedua belah kakiku sudahpun membengkak. Mungkin disebabkan kadar gula yang tinggi dan mungkin juga kerana berat badan yang berlebihan. Lebihan cairan menumpuk berkumpul dibahagian kaki. Berjalanpun seperti itik terkedek-kedek. Rasa panas dan berdenyut-denyut dikaki mengundang rasa sakit setiap kali aku berdiri dan berjalan, malahan ketika duduk atau baring berehatpun kesakitan makin kuat kurasakan. Aku banyakkan istighfar memohon ampun pada Allah. Mungkin ini sebahagian kifarah atas segala dosa-dosaku. Waktu ini selang 2 minggu aku akan ke hospital untuk memeriksa paras gulaku. Sehari sebelum Review di hospital aku harus memeriksa darah sebanyak 4 kali iaitu pagi (puasa), sejam selepas sarapan, sejam selepas makan tengahari dan sejam selepas makan malam. Setiap kali Review memang paras gulaku semakin meningkat. Aku sentiasa diingatkan nurse tentang kehamilanku yang berisiko tinggi (high risk) kadang-kadang hatiku memberontak kenapa perlu mereka mengingatkan aku setiap masa seolah-olah aku harus bersedia untuk sebarang kemungkinan yang buruk. Aku faham itu sebahagian tugas mereka tetapi bukankah mereka juga ada tanggungjawab untuk membantu menenangkan pesakit. Dalam keadaan aku seperti ini aku sangat memerlukan semangat dan kata-kata nasihat yang dapat mententeramkan perasaan dan menenangkan hatiku. I wish someone understands me......but.....hmmm....sigh!!!
Memanglah emosi ketika mengandung sangat berlainan. Sekarang baru aku faham kenapa ada penyakit 'gila meroyan' dan kemurungan ketika mengandung dan selepas bersalin. Tanpa sokongan orang-orang tersayang dan persekitaran memang tidak mudah untuk menstabilkan emosi diri. Lebih-lebih lagi apabila tidak ada sesiapapun yang memahami perasaan kita dan tidak ada sesiapapun yang benar-benar ambil berat dan menjaga kita sepenuhnya. Bagi orang yang mengandung kasih sayang dan perhatian adalah dua perkara yang paling penting. Jika kekurangan kedua-dua ini pasti emosi tidak akan terkendali dengan baik. Begitu juga ia akan memberikan kesan pada kehamilan itu secara keseluruhannya. Orang yang berada disisi memang tidak akan nampak semua ini. Perubahan demi perubahan dalaman yang melibatkan emosi hanya diri kita sendiri yang merasa dan mengetahuinya. Seorang perempuan yang mengandung memang perlu kuat dalamannya. Dia perlu berdepan dengan diri sendiri dan memastikan emosi dan jiwanya tidak tergugat. Bila ada kekuatan dalam diri, keimanan, kesabaran dan daya tahan yang tinggi barulah seseorang wanita mengandung itu dapat benar-benar melepaskan dirinya dari bahaya ancaman emosi dan ketidakstabilan dalaman yang kronik.
Aku akui aku mengalami perubahan emosi yang sangat mendadak. Mungkin kerana tidak ada pengalaman berdepan dengan situasi sewaktu hamil dan disebabkan oleh persekitaran. Aku jarang menyuarakan isi hatiku kerana aku tidak yakin jika aku menyuarakan apa yang aku rasa ianya akan diterima dan difahami dan seterusnya diambil positif atau diselesaikan dengan cara yang aku mahu. Aku lebih banyak berdiam, pendam dan simpan dalam hati. Memang aku bersikap begini even sebelum mengandung dan dari dulu juga aku lebih suka keep it myself. Entahlah sukar untuk aku menjelaskan seperti 'ditelan mati emak diluah mati bapa'. Aku cuma banyak berdoa agar dikurniakan kesabaran untuk menempuhi apa juga dugaan dan semoga aku tidak hanyut dengan konflik emosi dan dalamanku. Sebab itulah Solat memainkan peranan yang sangat penting. Ia mendekatkan diri kita kepada Allah dan memberikan ketenangan jiwa. Sekurang-kurangnya ada sandaran spiritual yang dapat kita pegang selain cuba mendapatkan sokongan orang-orang sekeliling.
Pada minggu ke-28 aku diuji lagi. Kali ini aku terjatuh. Entah macam mana semuanya berlaku dengan sekelip mata. Disebabkan jatuh itu kesakitan dipinggang dan belakangku semakin menjadi-jadi. Namun syukur Alhamdulillah kerana kandunganku tidak terjejas. Pada mulanya aku sangat takut kerana sewaktu terjatuh tu ada cairan keluar dari Miss V (aku rasa itu ialah air ketuban) kerana ia tidak berbau dan berwarna jernih. Aku agak cemas takut memikirkan keselamatan kandunganku. Namun rahmat Allah maha besar segala-galanya selamat dan air ketubanku juga cukup. Kebetulan hari yang aku terjatuh tu 15 Oktober 2015 hari untuk Review dan scan kandungan. Jadi sekaligus diperiksa keadaan baby. Lega dan bahagia bila diberitahu yang baby didalam berada dalam keadaan yang baik dan tidak ada apa-apa masalah. Satu hal lagi yang sangat menggembirakan kami ialah hari itu juga kami dapat melihat jenis kelamin si kecil. Iya it's hubby junior (baby boy), geng encik suami nampaknya ehehehe senyum sampai ke telinga kami berdua. Syukur Alhamdulillah terima kasih Ya Allah kerana memperkenankan doa kami yang menginginkan anak lelaki. Feel so blessed and grateful.
Gambar di bawah ni gambar scan baby minggu ke 28 (15 Oktober 2015).
Gambar di bawah ni gambar scan baby minggu ke 28 (15 Oktober 2015).
Ketika menulis entri ini aku dah masuk 29 minggu. Trimester kedua dah berakhir dan kini aku memasuki Trimester ketiga. Semoga aku dapat melalui detik-detik ini dengan penuh kesabaran dan semangat waja, redha diatas apa jua dugaan dan ujian dari Allah. TOLONG DOAKAN AKU YAA. Semoga segala-galanya dipermudahkan sehingga sampai waktu melahirkan nanti Aamiin Aamiin Aamiin.
Baca Sambungan di SINI